SAMBUTAN HARI GURU 2012

“GURU INOVATIF MELONJAKKAN TRANSFORMASI PENDIDIKAN NEGARA”

Pelbagai program dan aktiviti dirancang sepanjang Perayaan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Ke-41 Tahun 2012  bermula pada 10 hingga 16 Mei 2012 seperti berikut:-

• Majlis Bacaan Yasin, Tahlil dan Solat Hajat  pada 10 Mei 2012 di Masjid Putra, Putrajaya yang akan dihadiri oleh Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Haji Mohd Puad bin Zarkashi.  Majlis akan diadakan serentak di semua masjid seluruh negara;
• Khutbah Jumaat pada 11 Mei 2012 di semua masjid seluruh negara;
• Pameran Pendidikan pada 12 hingga 16 Mei 2012 di SMK Clifford, Kuala Kangsar yang pelancarannya akan disempurnakan oleh YAB Menteri Besar Perak pada 13 Mei 2012;
• Jamuan  Makan Malam Negeri (Pelancaran Buku, Penyampaian Hadiah dan Anugerah) pada 15 Mei di kediaman rasmi YAB Menteri Besar Perak;
• Bahas Guru Ala Parlimen (Peringkat Akhir)  pada 15 Mei 2012 di Kolej Melayu Kuala Kangsar;
• Program Guru Penyayang pada 15 Mei 2012 di SK Raja Perempuan Muzwin, Kuala Kangsar;
• Program Sepetang Bersama KSU dan KPPM pada 15 Mei 2012 di Persisiran Sayong, Kuala Kangsar; dan
• Forum Pendidikan pada 15 Mei 2012 di Kolej Melayu Kuala Kangsar.

Manakala acara kemuncak perayaan ialah  majlis pelancaran perayaan Hari Guru peringkat Kebangsaan  Ke-41 oleh YAB Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran pada 16 Mei 2012 di Dewan Jubli Perak, Kuala Kangsar, di mana dua anugerah tahunan akan disampaikan iaitu Tokoh Guru Kebangsaan dan Tokoh Kepimpinan Pendidikan serta Anugerah Tokoh Guru Sekolah Swasta Kebangsaan yang mula diperkenalkan pada tahun ini.  Majlis tersebut akan turut disiarkan secara langsung menerusi radio dan televisyen RTM dan EduWeb TV.

Selain itu, turut diadakan ialah pertandingan mencipta Lagu Tema Hari Guru 2012 yang akan dimainkan di semua Jabatan Pelajaran Negeri dan sekolah semasa perhimpunan sekolah sehingga Hari Guru berlangsung.

Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Y.Bhg. Dato’ Sri Abd. Ghafar bin Mahmud ketika menyempurnakan Majlis Pra-Pelancaran Hari Guru 2012 pada 30 April 2012 di Dewan Besar Sekolah Sultan Alam Shah, Presint 1, Putrajaya turut melancarkan tema dan lagu tema Hari Guru iaitu ‘Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara’.

Tema Hari Guru amat bersesuaian dengan tahun 2012 yang juga merupakan Tahun Sains dan Gerakan Inovasi di peringkat nasional, selain peranan guru yang amat penting dalam melonjakkan prestasi pencapaian murid., di mana kecemerlangan dan kemenjadian murid adalah puncak manifestasi seseorang guru hasil daripada kerja-kerja pendidikan yang mampu menghasilkan modal insan yang kompeten dan cerdas dalam aspek ilmu dan kemahiran; inovatif dan kreatif; bersahsiah dan paling penting bersifat patriotik serta cintakan tanah air.

Malah guru inovatif juga mampu melonjakkan transformasi terhadap murid dengan berbekalkan ilmu dan kemahiran sains teknologi terkini dan ini membuktikan bahawa modal insan berinovasi menjadi prasyarat utama kepada pertumbuhan produktiviti kearah penjanaan ekonomi berpendapatan tinggi.

Sehubungan itu, beliau menyeru para pendidik agar bersama-sama berusaha membuat anjakan daripada daya upaya peralatan kepada daya upaya minda dan daripada pemudahcara kepada pencetus invensi dan inovasi.

Tinggalkan komen